Explorasi Pelajar Kolej i-Systems Miri di Taman Negara Niah


Seramai 19 pelajar Kolej i-Systems Miri telah menyertai lawatan sambil belajar ke Taman Negara Niah yang diadakan pada 28 hingga 29 Mac 2015 yang lepas. Lawatan selama dua hari satu malam itu turut disertai oleh beberapa orang pensyarah dan kakitangan kolej tersebut. Lawatan ke Taman Negara Niah tersebut bermatlamat untuk mendedahkan para peserta terhadap peninggalan sejarah masyarakat purba dipercayai berusia lebih daripada 40,000 ribu tahun yang terdapat di dalam Gua Niah. Antara artifak yang dijumpai seperti tembikar, tengkorak manusia, perahu, dan keranda yang diperbuat daripada kayu. Para peserta juga berkesempatan melihat sendiri lukisan-lukisan purba kala yang terdapat di dinding Gua Kain Hitam iaitu gua terakhir sekali terdapat di taman negara itu. Ini membuktikan bahawa seni sudah wujud sejak zaman prasejarah di mana ianya mengandungi mesej-mesej tertentu yang mengambarkan kehidupan masyarakat pada masa lampau. Di samping itu, para peserta turut berpeluang menerokai keindahan alam semula jadi dan menyaksikan pelbagai spesis flora dan fauna. Para peserta rata-ratanya merupakan pelajar jurusan Diploma Teknologi Makmal Perubatan (Tahun 3) itu kelihatan sangat teruja apabila berpeluang menyaksikan aktiviti penuaian sarang burung walit yang merupakan salah satu daripada industri terkenal di Sarawak di mana para pengumpul sarang burung membuat pendakian yang berbahaya menggunakan tangga buluh sehingga ke siling gua. Antara aktiviti lain turut diadakan ialah senamrobik dan permainan menguji minda para peserta dalam mempraktikkan bidang yang dipelajari di kolej. Pengembaraan ke Taman Negara Niah memberikan seribu satu pengalaman dan pengetahuan kepada para peserta. Para pelajar Kolej i-Systems berharap agar lebih banyak lagi aktiviti eksplorasi seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang.

ISM_Gua Niah Visit

Timba ilmu: Para pelajar Kolej i-Systems Miri merakam kenangan semasa mengadakan lawatan sambil belajar ke Taman Negara Niah.